Pengorbanan

Bismillah...



Detik demi detik berlalu pergi. Sedetik pun, masa tidak pernah mahu berhenti.
Pantas masa berlari, menghalang diri untuk terus menerus menuruti kegalauan hati.
Pilu kerana dosa yang banyak tidak seharusnya menghentikan kayuhan langkah manusia.
Bahkan kerana dosa yang banyak itulah manusia perlu bingkas melangkah, melaksana taubat sesungguh mungkin.
 
ZulHijjah kini kembali lagi. Terasa bagai baru semalam ZulHijjah tahun lepas berkunjung tiba ke dalam hidup ini. Adapun...ZulHijjah lepas masih segar dalam memori.

ZulHijjah kali ini bakal berbeza. Tidak akan sama dengan yang sebelumnya.
Ada insan tersayang telah meninggalkan. Hanya ibrah dari dirinya telah dia tinggalkan.
Ada juga insan tersayang yang masih dipinjam kan Nya. Masih berjuang bersama.
Bismillahitawakkalnaa ... Hanya kepada ALLAH segala urusan selayaknya para hamba serahkan.

Mengimbau data dalam ingatan, ZulHijjah sering dikaitkan dengan pengorbanan.
Pengorbanan Nabi Ibrahim, Siti Hajar juga Nabi Ismail yang dilakukan atas keyakinan mereka yang amat kukuh kepada ALLAH. Pengorbanan yang begitu ikhlas. Pengorbanan yang membawa kepada kelahiran Rasulullah juga terbinanya kota MAKKAH . Pengorbanan yang bukan mudah. Pengorbanan penuh barakah... Dan barakahnya masih terus mengalir dalam kehidupan kita di zaman ini.

Seiring berangkatnya masa, baru kini diri ini sedari bahawa usia remaja ku hampir tiba ke penghujungnya, dan masih diri ini belum melakukan apa-apa untuk agama.
Masih melangkah longlai dalam kehidupan. Ilmu dalam dada bersepai entah ke mana.
Sedangkan,masanya akan tiba untuk ALLAH bertanya mengenai masa remajamu apakah yang dirimu lakukan dengannya...

ALLAH membeli daripada remaja yang bertaqwa akan waktunya dan mereka juga dengan penuh bahagia menjual hidup mereka kepada ALLAH. Seorang remaja yang betaqwa akan menyibukkan dirinya dengan mengingati ALLAH dan Rasul Nya, bersungguh-sungguh memperbaiki hubungan mereka dengan ALLAH juga manusia. Menuntut ilmu dan sedaya upaya menahan perasaan daripada mengikuti rayuan dunia yang tiada penghujungnya apabila diikuti.

Remaja yang benar taqwanya akan rela mengorbankan perasaan, masa, tenaga dan hidupnya untuk ALLAH semata-mata. Dan inilah remaja penyejuk jiwa.

ZulHijjah tidak hadir untuk sekadar berlalu pergi.
ZulHijjah hadir bersama hikmah tersembunyi.
ZulHijjah ini menyedarkan....
Remaja ini harus berkorban.

LABBAIKALLAH...


Semoga Allah redha ^ ^