Pandang

 Bismillah



Irsyad,
Izin daku utarakan satu persoalan.
Bukankah hidup di atas muka bumi ini agar akhirnya dipandang penuh redha oleh Tuhan?
Maka, bukankah seharusnya setiap perilaku, setiap lintasan hatimu, apa yang dikau zahirkan dan apa yang tersembunyi dalam hatimu perlu seupayanya dirimu perhatikan?
Kerna Allah Tuhan mu senantiasa memandang mu. Allah menilai setiap satu. Bukankah hanya redha Nya yg dikau dambakan? Maka untuk apakah setiap perbuatan yg bisa mendatangkan kemarahan Allah mu? Apakah dikau mahu Allah memandang kejelekan dan busuk yang ada padamu jua hatimu? Tidakkah dikau berasa sedih dan teramat malu? 

Irsyad bermonolog di dalam hati.
Serentak esakan tersedu-sedan di alam realiti.

Sesak dada Irsyad mengusung harapan besar. Irsyad ingin sekali menjadi hamba yang dicintai Tuhan. Namun, Irsyad juga sedar betapa dirinya penuh kehinaan. Jurang antara dirinya dengan Tuhan nya dirasakan semakin besar. Irsyad malu mahu mempersembah hati yang kotor, sobek lagi jijik pada Allah Tuhan sekalian alam. Akan tetapi Irsyad rindu.


Penuh takut dan harap.
Penuh takut dan harap..
Dia bimbang tidak diterima namun terus berharap.
Di taman usang itu,
Irsyad duduk di atas kerusi kayu.
Sambil merintih menyeru.

اللهم انظر إلينا بعين الرحمة
اللهم انظر إلينا بعين رضاك

Wahai Allah, 
Sudilah pandang kami dengan pandangan Rahmat.
Wahai Allah,
Sudilah pandang kami dengan pandangan redha Mu.

...

٢ محرم ١٤٤٥ه




Semoga Allah redha ^ ^

Yang Baik

 Bismillah.


Hantaran ku kali ini masih berkisar tentang 'baik'.



Jadilah orang yang baik.

Jika tidak mampu..

Mudahkan dan bantulah orang-orang berbuat baik.

Jika masih tidak mampu..

Jangan di halang orang yang mahu berbuat baik.

Jika tidak juga kita mampu..

Usaha untuk tidak sakiti hati orang yang baik.

Jika tidak mampu lagi..

Berdoalah pada Allah rayu pada- Nya untukmu hal yang baik-baik, menjadi hamba Nya yang baik, ditempatkan di tempat yang baik, di sisi orang baik-baik, dikurnia pengakhiran hidup yang baik.

Kerna Tuhan kita Allah adalah Tuhan Yang Maha Baik.

Bersangkalah pada - Nya dengan sangkaan yang baik. 


اللهم اجعلنا من المحسنين



Semoga Allah redha ^ ^

Orang baik-baik

 Bismillah.

 


Mendengar perkhabaran kembalinya mertua kakakku ke rahmatullah dinihari tadi entah mengapa begitu memberi kesan kepadaku. Suasana hatiku mendung seharian. Air mata sekejap2 bergenang di tubir mata. Mahu sahaja kuhamburkan tangisan ibarat kanak-kanak menangis namun hariku yang menuntutku untuk  berhadapan dengan banyak orang membuatkanku terus menahan perasaan. Wajah almarhumah terbayang-bayang selalu meski amat jarang kami bertemu. Hendak kata akrab juga tidak. Dalam kiraanku, 2 tahun sekali pun belum tentu kami bertentang mata.
Mungkin juga bak peribahasa cubit peha kanan peha kiri terasa, kesedihan di hati kakakku itu terasa hingga ke hatiku. Atau mungkin kerana yang meninggalkan dunia itu adalah orang baik-baik sehingga membuat hatiku terlalu sedih dan rindu untuk bertemu lagi walau sekadar melihat senyum di wajahnya. 



Daku amat jarang bertemu almarhumah. Akan tetapi pabila bertemu  (waktu raya), almarhumah pasti menyambutku ibarat daku ini anaknya. Salam dan memelukku sambil menyebut namaku dengan hangat .Begitu mesra, penuh kelembutan. Terasa kasih sayangnya sampai ke hati meski daku ini bukanlah anaknya mahupun menantunya juga amat jarang menziarahinya. Almarhumah juga senantiasa bertudung labuh membuatkanku senantiasa sejuk memandang wajahnya. Cerita kebaikan-kebaikan almarhumah juga banyak kudengari dari kakakku membuatkanku lebih sedih dengan ketiadaannya juga membuatku berfikir bagaimana pula bila tiba masaku nanti. Apakah diriku juga bakal meninggalkan kesan yang baik untuk yang kutinggalkan ataupun sebaliknya.


Diriku benar-benar berharap menjadi orang baik. Diriku benar-benar berharap Allah memilihku menjadi orang baik-baik. Mohon doakan daku menjadi di kalangan orang-orang yang berbuat baik. Semoga doamu yang baik-baik itu kembali kepadamu sehingga dirimu juga dikurniakan pengakhiran yang baik.




Begitulah..
pabila orang baik-baik meninggalkan kita. Kematiannya menjadikan hidupnya hati kita. Alangkah beruntungnya.

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا يا الله بسوء الخاتمة





Semoga Allah redha ^ ^

Guruku

 Bismillah.


Coretan ini pendek sahaja.
Sekadar ingin mengucap selamat hari guru buat guru pertamaku, ayah dan mama.
Serba serbi kehidupan ku belajar dari mereka. 
Juga buat suamiku.
Banyak kupelajari hikmah dan ketabahan dalam kehidupan melaluinya.
Juga buat anak-anakku.
Mengajarkanku akan hati tulus serta mengenalkanku akan besarnya nilai sabar dan refleksi diriku.
Juga buat ibu ayahku, 
Suri tauladan yang baik ku peroleh dari mereka.
Juga buat adik beradik dan keluargaku,
Kupelajari erti kasih sayang sesama.
Juga buat guru-guru yang mengajarkanku ilmu.
Ilmu dan pesan-pesanmu kan kusemat dalam dada.
Sungguh berharga kehadiranmu.
Hidupku rasa lebih bermakna.
Tulus doaku pada Nya,
Semoga Allah memberkati setiap darimu.
Eh...
Rupa-rupanya,
Coretanku tidaklah pendek. 
Namun,
Tidak pula ia terlalu panjang untuk dibaca.
Hehehehehehe 


Semoga Allah redha ^ ^

Pesan Murobbi 2

 Bismillah.



Dalam satu majlis ilmu, murobbiku (semoga dalam jagaan Allah senantiasa) menyampaikan sebuah hadith yang mudah untuk ku ingati kerna pesan dari Rasulullah yg disampaikan oleh murobbiku ini sangat berkait rapat dalam rutin harian kita. Pesan ini tidak disampaikan khusus /direct buatku. Akan tetapi ia diajarkan kepada umum yang berada di jalsah ilmu itu. Kini, bersempena hari guru, kusampaikan kepada kalian yang membaca. Mungkin suatu hari nanti ada yg membaca dan mengamalkannya. Moga-moga pahala berterusan Allah sudikan buatku juga buat murobbiku. Daku mungkin belum ada cara lain bagi membalas jasa. Hanya ini yang mampu ku usahakan setakat ini. Menyebarkan pesan murobbiku yang kukira pesan ini mudah untuk kita amal dan peroleh pahala, peroleh cinta Allah dan Nabi bila beramal dengannya.


Dari 'Umar bin Abi Salamah

،قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

يا غلام سم الله، وكل بيمينك، وكل مما يليك

'Wahai ghulam, sebutlah nama Allah (bacalah bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang ada di hadapanmu. 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Adab makan yang diajar Rasulullah kita kepada kita begini wahai para pencinta,

1) Bacalah bismillah

2) Makanlah dengan tangan kananmu

3) Makanlah makanan yang ada di hadapanmu( dekat denganmu)


Salam buat murobbi teragung,  sayyidina Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam,

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله



Semoga Allah redha ^ ^

Hati

 Bismillah.



Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Apa yang ada didalamnya, setiap satunya Allah Maha Tahu.

Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Kerna di situlah tepatnya pandangan Tuhan kepada mu.

Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Dengan Tuhan-mu apakah tidak dikau malu?

Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Pesan ini teruntuk diriku juga kamu.

...

Wahai Tuhan, sudikanlah buat kami hati yg indah dipandang -Mu kerna kami malu.
Wahai Tuhan, perkenankanlah buat kami pandangan Redha-Mu.

030523






Semoga Allah redha ^ ^

Kamu

 Bismillah.



Kamu, tidak perlu menjadi sempurna untuk kucintai. 
Cukuplah 'kasih kerana Allah' agar tautan kita malar segar hingga ke syurga firdausi. 




Semoga Allah redha ^ ^

Tenang

 Bismillah.






Duhai anak. 
Cukup jadilah dikau orang yang tenang.
Tidak mengapa jika tidak sempurna.
Orang yang tenang menuju menang.
Pabila tenang tersusun langkahnya.

Sekali lagi.
Cukup jadilah dikau orang yang tenang.
Tidak mengapa jika tidak sempurna.
Pada setiap peristiwa tetaplah tenang.
Takdirmu dalam genggaman Tuhan yang Maha Sempurna.

010523

Semoga Allah redha ^ ^

Cinta & Percaya

Bismillah.





Ibarat seseorang yang berjalan dalam kegelapan memegang pelita yang tiada menyala, teraba-raba. Tahu tujuan tetapi tidak pula nampak arahnya.

Tuhanku.
Cinta dan Percaya- Mu
ibarat minyak dan api yang menyalakan pelitaku.
 




Semoga Allah redha ^ ^

Sekiranya

 Bismillah.




Sekiranya, 

Takdir Al Qadir menemukanmu dengan seseorang yang menutup dirinya dari mahu dibantu, sudilah kirimkan buatnya tulus doamu setiap tika dirimu ingat kepadanya. Boleh jadi berkat doa tulusmu itu, apa yg tertutup pada dirinya bisa dibuka agar dia kembali menjadi manusia yang mampu menebar manfaat pada sekelilingnya. Mampu hidup sebagai hamba Nya. Boleh jadi doa mu sangat dia perlu namun dia malu untuk meminta kepadamu. Ingatanmu padanya juga bukankah dengan izin Tuhan kita? 

Manusia saling menguji juga saling melengkapi, saling memerlukan. Begitulah cara Allah mendidik kita.

Betapa banyak batin yang terus menerus menjerit meminta pertolongan di sebalik zahir yang sunyi dari suara. Tidak semua mampu menggapai. Mulailah melihat dengan mata hati moga-moga dirimu mampu menyedari jiwa disekelilingmu yang senyap-senyapnya sedang dilanda badai.

Bukankah dirimu, sungguh saudara seagama yang Tuhan letakkan kebaikan dalam jiwa hingga mampu mendoakan? 


Semoga Allah redha ^ ^

Suatu berharga

 Bismillah.




Terima kasih guru kami.
Doa darimu setia dinanti.
Pemberian darimu terlalu kami hargai.
Ingatanmu pada kami muridmu sungguh-sungguh kami syukuri.
Kemaafanmu amat mustahak buat kami.
Suatu berharga ku abadikan di sini.
Mungkin suatu hari guru akan membacanya nanti.

Ketahuilah wahai guru yang amat ku hormati dan ku ta'zimi.
Dirimu berhasil menjadi salah satu penyuluh hati diizinkan Rabbi.
Untukku terus tabah melangkah menuju redha Ilahi.
Teruslah kuat semangatmu guru menebar bakti.
Banyak hati mendapat hikmah darimu ku yakini.

Terima kasih guru memberi contoh kepada kami.
Bagaimana caranya menjadi ummat yang bisa dibanggakan sang nabi.
Semoga Allah memberkati sepanjang umurmu guru kami.
Moga Allah izin kami membalas jasamu di kehidupan kami walau tidak setanding bakti.

.

Sebagai murid, sudah tentu doa, redha, ingatan guru amat penting pada kita.

Selawat dan salam buat guru teragung , guru kepada setiap guru.. saiyidina Muhammad Rasulullah.

اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه عدد حسنات سيدنا محمد

27Ramadhan1444




Semoga Allah redha ^ ^

Ikhlaskan

 Bismillah.



Usah terlalu pada perasaan.

Ibakan  asamu pada Ar-Rahman.

Mohon langkahmu dalam pimpinan.

Rasa-mu, Ikhlaskan, 

Keterikatan-mu, bebaskan.

Gapai ketenangan sepanjang kehidupan.

Perjalanan menuju Keredhaan Tuhan.

Redha yang tiada berkesudahan.


26Ramadhan




Semoga Allah redha ^ ^

Terusik Hati

 Bismillah



Terusik hati

Mendengarnya

Terkenang nabi


اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه عدد حسنات سيدنا محمد

يا رب صل على محمد. يا رب بلغنا نزوره




Semoga Allah redha ^ ^

Cari diri

 Bismillah.



Ramadhan yang berbaki 11 hari sahaja lagi masih ku tercari-cari diri. Rasa bagai layang-layang terputus tali. Sekadar menjalani rutin-rutin hari. 

Ku harap cahaya Nya kan menyapa lagi hati. Menyala menyuluh setiap langkah kaki. Ah.. Daku memang perlu diingatkan selalu ehwal mati. Baru terjaga mata hati ini. Mengerti tujuan dicipta diri. 

Ya Rabbana luruskanlah jalan kami. Tetapkan dan kukuhkanlah cinta kami kepada-Mu Rabbi. Agar tidak kami bingung-bingung lagi menjalani dunia ini. 


Bantu daku, terus mencari. 

Hingga kutemu, hakikat diri.


                                                                110423


Semoga Allah redha ^ ^

غفور ودود

 

Bismillah.




Semoga Allah redha ^ ^

Terkadang

 Bismillah..




Terkadang,

Zahir yang kau lihat kukuh.

Tinggal retak menanti roboh.

.

Terkadang,

Pada wajah polos bersahaja.

Ribut terburuk sedang menggerogoti jiwa.


Seringkali zahir itu tidak sama dengan realiti pada batin seorang manusia yang sengaja disembunyi.

Kerna itu, berbuat baiklah kalian dan juga diriku pada setiap manusia. Mungkin, sapaan mesramu atau senyum sederhanamu atau juga doa rahsiamu mampu mengubat sedikit luka bahkan menjadi penyembuh.  Moga-moga, dengan kebaikan yang dikau suguh, dia yang hampir roboh bisa kembali berpaut dan bersandar pada Tuhan yang Maha Teguh. Berbuat baiklah. Berbuat baiklah. Berbuat baiklah, kerna hakikat manusia ini penuh luka dan lelah di dalam jiwa. Kerna, sejatinya dunia ini merupakan pentas ujian menuju syurga. Demi meraih redha Tuhan sekalian alam semesta.


190323



Semoga Allah redha ^ ^