Yang Baik

 Bismillah.


Hantaran ku kali ini masih berkisar tentang 'baik'.



Jadilah orang yang baik.

Jika tidak mampu..

Mudahkan dan bantulah orang-orang berbuat baik.

Jika masih tidak mampu..

Jangan di halang orang yang mahu berbuat baik.

Jika tidak juga kita mampu..

Usaha untuk tidak sakiti hati orang yang baik.

Jika tidak mampu lagi..

Berdoalah pada Allah rayu pada- Nya untukmu hal yang baik-baik, menjadi hamba Nya yang baik, ditempatkan di tempat yang baik, di sisi orang baik-baik, dikurnia pengakhiran hidup yang baik.

Kerna Tuhan kita Allah adalah Tuhan Yang Maha Baik.

Bersangkalah pada - Nya dengan sangkaan yang baik. 


اللهم اجعلنا من المحسنين



Semoga Allah redha ^ ^

Orang baik-baik

 Bismillah.

 


Mendengar perkhabaran kembalinya mertua kakakku ke rahmatullah dinihari tadi entah mengapa begitu memberi kesan kepadaku. Suasana hatiku mendung seharian. Air mata sekejap2 bergenang di tubir mata. Mahu sahaja kuhamburkan tangisan ibarat kanak-kanak menangis namun hariku yang menuntutku untuk  berhadapan dengan banyak orang membuatkanku terus menahan perasaan. Wajah almarhumah terbayang-bayang selalu meski amat jarang kami bertemu. Hendak kata akrab juga tidak. Dalam kiraanku, 2 tahun sekali pun belum tentu kami bertentang mata.
Mungkin juga bak peribahasa cubit peha kanan peha kiri terasa, kesedihan di hati kakakku itu terasa hingga ke hatiku. Atau mungkin kerana yang meninggalkan dunia itu adalah orang baik-baik sehingga membuat hatiku terlalu sedih dan rindu untuk bertemu lagi walau sekadar melihat senyum di wajahnya. 



Daku amat jarang bertemu almarhumah. Akan tetapi pabila bertemu  (waktu raya), almarhumah pasti menyambutku ibarat daku ini anaknya. Salam dan memelukku sambil menyebut namaku dengan hangat .Begitu mesra, penuh kelembutan. Terasa kasih sayangnya sampai ke hati meski daku ini bukanlah anaknya mahupun menantunya juga amat jarang menziarahinya. Almarhumah juga senantiasa bertudung labuh membuatkanku senantiasa sejuk memandang wajahnya. Cerita kebaikan-kebaikan almarhumah juga banyak kudengari dari kakakku membuatkanku lebih sedih dengan ketiadaannya juga membuatku berfikir bagaimana pula bila tiba masaku nanti. Apakah diriku juga bakal meninggalkan kesan yang baik untuk yang kutinggalkan ataupun sebaliknya.


Diriku benar-benar berharap menjadi orang baik. Diriku benar-benar berharap Allah memilihku menjadi orang baik-baik. Mohon doakan daku menjadi di kalangan orang-orang yang berbuat baik. Semoga doamu yang baik-baik itu kembali kepadamu sehingga dirimu juga dikurniakan pengakhiran yang baik.




Begitulah..
pabila orang baik-baik meninggalkan kita. Kematiannya menjadikan hidupnya hati kita. Alangkah beruntungnya.

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا يا الله بسوء الخاتمة





Semoga Allah redha ^ ^

Guruku

 Bismillah.


Coretan ini pendek sahaja.
Sekadar ingin mengucap selamat hari guru buat guru pertamaku, ayah dan mama.
Serba serbi kehidupan ku belajar dari mereka. 
Juga buat suamiku.
Banyak kupelajari hikmah dan ketabahan dalam kehidupan melaluinya.
Juga buat anak-anakku.
Mengajarkanku akan hati tulus serta mengenalkanku akan besarnya nilai sabar dan refleksi diriku.
Juga buat ibu ayahku, 
Suri tauladan yang baik ku peroleh dari mereka.
Juga buat adik beradik dan keluargaku,
Kupelajari erti kasih sayang sesama.
Juga buat guru-guru yang mengajarkanku ilmu.
Ilmu dan pesan-pesanmu kan kusemat dalam dada.
Sungguh berharga kehadiranmu.
Hidupku rasa lebih bermakna.
Tulus doaku pada Nya,
Semoga Allah memberkati setiap darimu.
Eh...
Rupa-rupanya,
Coretanku tidaklah pendek. 
Namun,
Tidak pula ia terlalu panjang untuk dibaca.
Hehehehehehe 


Semoga Allah redha ^ ^

Pesan Murobbi 2

 Bismillah.



Dalam satu majlis ilmu, murobbiku (semoga dalam jagaan Allah senantiasa) menyampaikan sebuah hadith yang mudah untuk ku ingati kerna pesan dari Rasulullah yg disampaikan oleh murobbiku ini sangat berkait rapat dalam rutin harian kita. Pesan ini tidak disampaikan khusus /direct buatku. Akan tetapi ia diajarkan kepada umum yang berada di jalsah ilmu itu. Kini, bersempena hari guru, kusampaikan kepada kalian yang membaca. Mungkin suatu hari nanti ada yg membaca dan mengamalkannya. Moga-moga pahala berterusan Allah sudikan buatku juga buat murobbiku. Daku mungkin belum ada cara lain bagi membalas jasa. Hanya ini yang mampu ku usahakan setakat ini. Menyebarkan pesan murobbiku yang kukira pesan ini mudah untuk kita amal dan peroleh pahala, peroleh cinta Allah dan Nabi bila beramal dengannya.


Dari 'Umar bin Abi Salamah

،قال رسول الله صلى الله عليه وسلم

يا غلام سم الله، وكل بيمينك، وكل مما يليك

'Wahai ghulam, sebutlah nama Allah (bacalah bismillah), makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang ada di hadapanmu. 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Adab makan yang diajar Rasulullah kita kepada kita begini wahai para pencinta,

1) Bacalah bismillah

2) Makanlah dengan tangan kananmu

3) Makanlah makanan yang ada di hadapanmu( dekat denganmu)


Salam buat murobbi teragung,  sayyidina Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam,

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله



Semoga Allah redha ^ ^

Hati

 Bismillah.



Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Apa yang ada didalamnya, setiap satunya Allah Maha Tahu.

Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Kerna di situlah tepatnya pandangan Tuhan kepada mu.

Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Dengan Tuhan-mu apakah tidak dikau malu?

Berhati-hatilah menjaga hatimu.
Pesan ini teruntuk diriku juga kamu.

...

Wahai Tuhan, sudikanlah buat kami hati yg indah dipandang -Mu kerna kami malu.
Wahai Tuhan, perkenankanlah buat kami pandangan Redha-Mu.

030523






Semoga Allah redha ^ ^

Kamu

 Bismillah.



Kamu, tidak perlu menjadi sempurna untuk kucintai. 
Cukuplah 'kasih kerana Allah' agar tautan kita malar segar hingga ke syurga firdausi. 




Semoga Allah redha ^ ^

Tenang

 Bismillah.






Duhai anak. 
Cukup jadilah dikau orang yang tenang.
Tidak mengapa jika tidak sempurna.
Orang yang tenang menuju menang.
Pabila tenang tersusun langkahnya.

Sekali lagi.
Cukup jadilah dikau orang yang tenang.
Tidak mengapa jika tidak sempurna.
Pada setiap peristiwa tetaplah tenang.
Takdirmu dalam genggaman Tuhan yang Maha Sempurna.

010523

Semoga Allah redha ^ ^