Ingatan

 Bismillah..

Dalam samar-samar cahaya purnama yang masuk melalui ruang tingkap bilik yang sengaja dibiar buka, Irsyad menulis sesuatu di atas sehelai kertas putih empat segi. 

'Sebanyak banyaknya dan sekuat mampu kudratmu,
berbuatlah kebaikan.
Tidak kira dalam bentuk apa pun itu,
lakukanlah kebaikan.
Kerna pabila orang mengingatimu, 
lantas teringat dia akan kebaikanmu, 
lalu berazam dirinya untuk menjadi baik sepertimu setelah lena alpanya yg lalu.
Maka bagimu pahala , 
doa-doa manusia 
serta di hari akhirat sebesar-besar keberuntungan.
Tidakkah itu semua yang kita mahukan?'

------------

"Irsyad. Kau sudah berubah."
Seseorang yang sangat rapat dengan Irsyad meluah rasa.

Pahit untuk ditelan. Namun Irsyad mengakui kebenaran setiap patah kata itu. Pahit. Kelat. Pedih. Bagai ada belati merobek-robek hati.
..

Tanpa siapa tahu. Diam-diam.
Dilubuk hati paling dalam.
Samar-samar perasaan rindu itu masih ada.
Kadang wujud kadang hilang.
Namun ia masih ada.
Dalam hati Irsyad yang paling dalam, dia begitu rindu akan dirinya yang tahu dan sedar dia hamba yang dicinta Allah dan Rasul Nya lantas dia taat.
Namun. Entah bagaimana dia bisa berubah secepat itu. 
Hilang. Terumbang-ambing. Sehingga Irsyad meneruskan hidup dengan dada yang sesak.
Irsyad sudah lupa bagaimana rasanya dicintai dan mencintai Allah, Rasulullah, para nabi dan para solihin serta orang-orang baik.
..

Jasad dan roh Irsyad kian penat.
Badannya bagai sifar tenaga. Rasa mahu saja dia berbaring sepanjang hari di atas katil pembelian ayah. Pejam mata dari realiti dan lesap sahaja dari dunia. Irsyad bagai tidak mahu bangun lagi.
Lelah rasanya bila menyedari dia telah jauh dari jalan lurus namun masih belum bisa memperbetul keadaan diri. Rasa kecewa dengan diri sendiri menyelubungi hatinya kini. Ditambah dengan penat berhadapan persepsi buruk manusia dimana Irsyad sendiri tahu umpatan umpatan manusia itu dek kerana sikapnya sendiri. Hendak menyalahkan orang lain tidak bisa, hanya mampu tuding jari pada diri.
Irsyad benar-benar perlukan rehat. 
Malam itu Irsyad mahu lelap awal. 
Namun matanya tidak bisa pejam kerna ada sesuatu memori mengusik kotak ingatannya.
Fikiran Irsyad melayang-layang pada memori tentang arwah datuknya. Pada waktu-waktu dirinya sesakit ini, perasaan rindu akan arwah datuknya hadir seakan-akan memujuk sedikit sebanyak mainan perasaan Irsyad.
Peribadi datuknya begitu penyabar dan menenangkan. Datuk suka melayan cucu. Datuk selalu bermain teka teki sifir serta ketuk-ketuk lantai kayu dengan Irsyad. Datuk juga orang yang selalu ke masjid dan berkhidmat sebagai 'amil. Selalu orang datang ke rumah datuk untuk membayar zakat. Setiap sepertiga akhir malam datuk akan bangkit dari tidur melakukan solat tahajjud bersama nenek. Datuk juga meskipun sudah tua berusaha menghafaz Al Quran meski tidak sempat semuanya. Setiap kali mahu menunaikan solat meski di rumah sahaja, datuk pasti akan bersiap rapi dengan jubah putih serta berserban dan memakai wangian. Dahulu Irsyad tidak ambil peduli akan pakaian solat datuk namun kini bila sudah dewasa baru Irsyad tahu datuk berpakaian begitu kerana mahu rapi-rapi untuk menghadap Allah Tuhan semesta alam, yang paling istimewa dalam hati datuk.  'Maulana ya Maulana ya sami' du'anaa..seperti lirik lagu opick.. Itu antara zikir yang buat Irsyad ingat dan rindu pada datuknya. Datuk selalu melantunkan zikir itu setelah solat jemaah ketika Irsyad masih kecil. Irsyad suka balik kampung kerana seronok mendengar lantunan suara tua datuk menguntai zikir itu. Zikir itu segar dalam ingatan Irsyad meski kenangan lain bersama datuk telah mulai pudar dan samar. Ah.. sungguh jauh peribadi datuk dengan dirinya. Benarlah iman itu tidak dapat diwarisi dan dijual beli seperti dalam lirik lagu nasyid satu masa dahulu.

Irsyad teringat pula akan cerita nenek. Setelah datuk meninggal, nenek bermimpi arwah datuk berpakaian jubah putih bersama sekumpulan lelaki yang juga berpakaian putih. Wajah datuk kelihatan sangat berseri. Ketika itu suasananya di tanah Makkah. Nenek ingin mengejar datuk tetapi mimpi itu hilang dan nenek terjaga dari tidurnya. Di mimpi lainnya pula, nenek berada di sebuah bilik yang sangat besar. Terdapat banyak katil di dalamnya. Ketika itu nenek melihat datuk berpakaian jubah putih bersama seorang kanak-kanak lelaki. (Nenek Irsyad telah kehilangan seorang anak lelaki ketika anaknya itu kecil). Jiran nenek juga pernah bercerita mimpikan datuk hadir ke rumah berpakaian putih membawa pisang emas. 
Ketika di hospital, hari sebelum datuk koma, ayah bercerita datuk melihat ke luar tingkap dan berkata kepada ayah hendak pergi ke rumah baru. Cantik kata datuk. Ketika itu darah ayah berderau seolah tahu itu tanda tanda datuk mahu pergi meninggalkan ayah di dunia ini.
Bagi Irsyad, itu semua merupakan tanda pengakhiran yang baik buat datuknya. Nenek masih meneruskan tahajjud yang dahulu dilakukan bersama datuk meski kini datuk sudah tiada. Ya..pahala yang berterusan buat datuk atas didikan datuk pada isterinya. Alangkah beruntungnya datuk.

Ingatan Irsyad pada datuknya malam itu seolah memberi tenaga baharu buat Irsyad. Irsyad mahu pengakhiran yang baik seperti arwah datuknya. Dengan lafaz bismillah, mulai hari itu, Irsyad mula mengayuh langkah perlahan-lahan untuk kembali kepada fitrah dirinya. Sang hamba yang patuh dan taat dengan penuh cinta. Meskipun Irsyad tahu perjalanan ini pasti tidak akan mudah, dia pasti akan masih berbuat salah. Pandangan buruk manusia pada dirinya pasti akan masih ada, namun Irsyad hanya akan terus berjalan sahaja dengan harapan akan sampai pada tahap Irsyad redha dan Allah juga redha padanya.

Perjalanan di kehidupan Irsyad masih panjang liku dan  ranjaunya.
Bisa sahaja Irsyad terjatuh lagi hingga dia mahu berputus asa.
Moga2.. bila saat seperti itu tiba.
Ingatan seperti ini akan kembali lagi untuk mengetuk buat kesekian kali kesedarannya.
Sampai Irsyad masuk syurga.
Bertemu sebenar-benar CINTA.







Semoga Allah redha ^ ^