Siapa?

Bismillah




Siapakah orang yang paling utama?
Orang yang paling utama adalah orang yang kini di hadapan mata.
Apakah pula yang paling utama?
Lakukan kebaikan kepada mereka.
(Prof Dr Muhaya, IKIM)

Kita rasa kita berda'wah. Kita rasa kita sudah benar-benar berda'wah. Kita terlalu sibuk berda'wah sehingga terkadang kita terlupa perkara paling fardhu ya'ni mengenai orang-orang yang sentiasa di hadapan mata kita. Keluarga kita. Keluarga yang Allah sudah khususkan dalam Al Quran untuk kita menjaga mereka dan menyelamatkan mereka daripada api neraka. Sudahkah benar-benar kita jaga?

Sudahkah hari ini keluargamu berbahagia dengan kebaikanmu terhadap mereka? Sudah tanya keluarga kita, sihatkah mereka? Sudah beri pengisian ilmu kepada mereka? Sudah bersenda dan menceriakan hari mereka? Sudah bantu mereka dalam urusan rumahtangga? Benar baikkah keadaan mereka? Sudah isi hati mereka dengan kasih sayang kita? Cuba cek kuku family kita. Sudah dipotongkah jika panjang? Sudah benar-benar ambil berat? Sudah benar-benar lembut dengan mereka? Allah...

Jika yang halal tidak mengambil posisi untuk benar-benar memberi kasih sayang dan menjaga iman sesama mereka. Bimbang mereka akan mencari ajnabi untuk mengisi hati mereka. Mereka akan mencari yang tidak baik buat iman mereka untuk mengisi kekosongan itu kerna yang halal dirasakan kurang peduli. Relakah seorang kakak atau abang melihat adiknya mencari ajnabi untuk menasihati mereka sedangkan mereka punyai kakak dan abang yang halal buat mereka untuk saling menasihati? Bangun wahai ahli dalam keluarga !


Terkadang kita menjadi daie yang hebat buat ummah namun tidak bagi keluarga kita.
dan terkadang kita menjadi daie yang baik bagi ajnabi namun kita lupa di kalangan yang mahram bagi kita, ada yang masih rasa terpinggir dan dipinggir. Kita punyai pilihan untuk berda'wah dengan lebih berkesan ya'ni berda'wah dengan yang halal buat kita dengan bersungguh-sungguh namun kita memilih sebaliknya.

Selamatkan yang halal buatmu, agar yang ajnabi turut selamat dunia dan akhirat !





Semoga Allah redha ^ ^

Takdir

Bismillah...

ALLAH dan Rasul Nya


Terkadang, kita terlalu takut untuk berhadapan dengan takdir.
Kecewa dengan takdir. Bimbang..resah..gelisah..hiba...
Sehingga kita menjadi hamba Allah yang tidak bersyukur. Hamba Allah yang futur.

Terkadang kita jatuh dan merasakan tidak akan dapat bangun lagi setelah melalui apa yang telah terjadi dalam takdir kita. Kita terlalu bersedih dan kecewa... Kerana ada takdir-takdir yang tidak selari dengan kemahuan kita.

Tanpa memberi ruang dan peluang untuk akal dan hati kita berfikir,
bahawa yang telah menetapkan dan menakdirkan itu adalah Allah kita yang menciptakan kita. Yang Maha Besar. Yang Maha Tahu. Yang Maha Berkuasa. Yang mengharamkan zat Nya daripada menzalimi kita. Yang tahu segala-galanya, baik yang zahir mahupun yang tersembunyi dalam nurani kita. Yang menyayangi kita melebihi apa jua. Yang menjaga kita dulu kini dan selamanya.

Yang menakdirkan perjalanan kita adalah Allah yang telah mengakui bahawa DIA lebih dekat dengan kita berbanding urat leher kita, Yang memberi kasih sayang yang tiada penghujungnya ya'ni abadi . Justeru itu Allah Maha Tahu. Allah lebih tahu akan besar Kasih Sayang Nya buat kita berbanding apa yang pernah kita tahu..

Tatkala seseorang menyayangi, akankah dia menyakiti apa yang dia sayangi?
Justeru Allah kita,  lebih-lebih lagi tidak akan menyakiti kita.

Tugas kita adalah untuk tidak berputus asa dengan luas rahmat Nya dan kemudian nantikanlah saat seluruh kasih sayang Nya buat diri kita terzahir dan terlerai di syurga abadi nanti tiba.

Maka bangkit, bersyukur, beriman dan bertaqwalah dalam meredhai dan meyakini takdir,
takdir kita ... Kerna setiap rencana Nya itu sentiasa terbaik buat setiap hamba tanpa ada satupun yang dizalimi.

Jangan lemah. Ummah perlukan orang-orang yang kuat imannya.
Yakin dengan Allah !





Semoga Allah redha ^ ^