Ali

Bismillah...





4:00 pagi.

Ali bingkas bangun menuju ke masjid selaju mungkin. Tidak sabar sang hati untuk bertemu cinta.Dia lah Allah Yang Maha Esa.

Kakinya lancar mengatur langkah.  tiba- tiba ...
sreeeeeetttttt...BUUMMMM!!!!

"Allahh..." ... Jasad Ali terkulai di tengah jalan. Bersama hatinya yang membara, penuh  cinta untuk Allah dan Rasul Nya.  Jasad Ali mungkin masih di situ. Di atas jalan batu. Tumpahan darah di atas baju. Namun, hatinya sudah terlebih dahulu terbang bahagia mencari Pemilik cinta dalam qalbu.

Hujan membadai, seolah menangis. 
Dunia ini sesungguhnya telah kehilangan. Seorang Ali yang dicintai dan mencintai Allah dan Rasulullah...Satu asbab bala diangkat dari bumi ini sudah sirna.

------

Al Quran masih kukuh dalam pelukan, meski nyawa tidak lagi dikandung badan.
Jubah putih bermandi cahaya. Kopiah putih masih di atas kepala.
Wajah tersenyum, cahaya di mana-mana.

Rindu itu dalam perjalanan bertemu rindu.

..

Sudahkah kita renungi bagaimana mati kita? Tertutupkah aurat kita? Hinakah atau bakal dimulia? Akankah roh kita disambut baik dan diterima ?
Semua masih menjadi tanda tanya selagi jasad berpijak lantai dunia. Yang kita perlu lakukan sebatas usaha tanpa putus asa dengan rahmat Nya.. Ya. Tanpa putus asa meski terasa sudah tiba dihujung asa.

Pernahku dengar kalam alim 'ulama bahawa keadaan kita mati ditentukan oleh cara kita hidup. Apa yg kita lazimi...

"Wahai Allah kami..tuntunlah setiap langkahan kami agar tetap dalam keredhaan Mu.."

" Wahai Allah kami, perkenankanlah untuk kami pengakhiran yang baik"...

"Wahai Allah kami, tutupilah aib-aib kami, hambaMu yang lemah lagi dhoif pada Mu"

"Wahai Allah kami , belas ihsanlah terhadap kami"






Semoga Allah redha ^ ^

Bersihkan hatimu

Bismillah...



...  وإن كان ذو عسرة فنظرة إلى ميسرة و
  ... و

وإن كان ذو عسرة فنظرة إلى ميسرة و
 ..................   ...
Irsyad memejamkan mata.Dua kelopak mata bertaut erat. Rapat. Tidak terbayang kalimah dari kalam ALLAH itu yg seterusnya .
Semakin berkerut dahinya. Buntu...

Tapp ! Rehal diketuk kuat !

 Irsyad ! Bangun! Berdiri. Jangan duduk sehingga kamu tasmi' dengan lancar. Gertak ustaz.

Irsyad akur. Dia bangun dan kekal berdiri lantas melihat mashaf Al Quran miliknya.
Memandang setiap kalam Nya dengan hati yang retak. Matanya mulai berkaca.

Ya ALLAH... mengapakah ini... Mengapa sukar benar untuk ku hadam ayat-ayat Mu ini ke dalam ingatanku... Mengapa sukar benar ...ya Rabb...  lirih hati Irsyad. Air mata sudah jatuh ke baju.

Rakan-rakan tasmi' yang lain memandang. Kasihan , mungkin.

---

Setelah rakan-rakan nya selesai memperdengar bacaan hafazan masing-masing kepada ustaz, tiba giliran Irsyad. Namun... seperti tadi, bacaannya tidak lancar. Lupa.

Ustaz Muhammad di hadapannya, memandang wajah Irsyad dengan pandangan sayu.

Wahai anakku, bersihkan hatimu...
Ayat Al Quran ini mulia dan ia tidak akan masuk ke dalam diri dan hati yang kotor.
Bersihkan hatimu... Tidak perlu ustaz khabarkan mengapa kerna kamu sendiri tahu apa yg berlaku sepanjang kehidupanmu... apa yg kamu lakukan bagi mengisi masa lapangmu... Bersihkan hatimu...


Tapi ustaz... bagaimana ... bagaimana untuk membersihkan hati?...  soal Irsyad.


Perbanyakkan istighfar dan terus perbaiki diri...
 Ustaz senyum.

Ustaz... doakan saya... bicara Irsyad penuh harap.

In shaa ALLAH. Jangan berputus asa. ustaz memberi dorongan.


Irsyad berlalu.


Bersihkan hatimu. 
Semoga hijab antara kita dengan cinta NYA terangkat hingga sampai kita kepada NYA.








Semoga Allah redha ^ ^

Tanpa Sempurna

 Bismillah..




Setiap sesuatu yang kita peroleh di dunia ini ada maharnya. Di bahagian ini kita peroleh nikmat pada hari ini. Tetapi di bahagian lain pula ada yang mulai hilang dan luput pada hari yang sama. Ada insan yang dikurnia kelebihan di satu sisi. Tanpa kita tahu di sisi lain tersembunyi begitu banyak kurang dan cacat celanya. Mengapa tidak manusia dibiar sempurna? Kerna dengan sempurna tidaklah manusia itu berharap dan merasa perlu kepada Pemilik nya. Dia lah Allah Yang Maha Sempurna. Saat dada terasa sempit.  Seisi alam pula kelihatan mahu mulai memusuhi. Saat itu lah hati benar-benar rasa tertunduk, terduduk pada Pemilik sebenar diri. Tiada tempat bergantung menjadikan hati mahu mencari Yang Maha Agung. Seandainya manusia itu sempurna, tiadalah rasa ingin bertuhan di dalam jiwa. Tidaklah semua ini melainkan bukti Cinta Nya yang ingin Dia beri kepadamu duhai manusia. Syukuri kurnia Nya walau kau lihat sedikit, sabarkan uji Nya walau kau rasa nyeri nya perit.


Semoga Allah redha ^ ^

Permata berharga

 Bismillah



Termangu aku di atas beranda kayu bersama secangkir kopi kegemaran. Bayu angin mengelus pipi. Setia menemani aku yang hanyut dengan lamunan. Otakku ligat bergerak pada setiap inci kisah hidup yang telah ku lalu. Penuh didikan dan kasih sayang Tuhan untuk kuambil pengajaran. Hidup ini adalah pelajaran bagi mereka yang mahu buka hati dan akal fikiran. 

Ternyata, ibu ayah jua yang banyak membantuku dalam melayari kehidupan berbaki ini. Aku yang mulai tumbuh dewasa dan sudah lebih mampu berfikir matang terasa hiba mengenang sikap-sikap ku dahulu kepada dua sosok yang kupanggil ayah mama. Andai sahaja dahulu aku lebih baik kepada mereka. Andai sahaja dahulu aku lebih mencurah tenaga dan cinta kepada mereka. Namun itu semua sudah berlalu. Aku masih direzekikan 'kini'. Tetapi tetap, jasa mereka terasa begitu tidak mampu kubalas walau sekecil cuma. Teringat segala luka yang telah kutinggalkan dalam hati mereka saat aku berdarah muda. Kulebihkan teman-teman mengatasi mereka. Kini teman-temanku punyai jalan dan hidup mereka sendiri. Bukan mereka tidak mahu bersamaku. Tetapi mereka punyai insan-insan yang lebih berhak ke atas masa dan tenaga mereka. Ibu ayahku pula masih siaga dan tetap setia membantu dan menyayangi anak-anak semampu mereka. Aku lah salah satu nya yang memperoleh tulus kasih ayah mama. Saat ini umur mereka terus meningkat dan semakin berusia. Moga-moga dapatku menjadi anak solehah yang berbakti buat keduanya.

Terima kasih buat permata kami paling berharga di dunia. Semoga Allah merahmati kalian semua wahai yang bergelar ibu bapa.

Ngasiman Abd Aziz. Nazullela Ngadi. Rafiee Hashim. Kamaliah Sidek.

Semoga Allah kurnia syurga Firdaus buat mereka ibu dan ayahku yang kukagumi dan kusayangi.



Semoga Allah redha ^ ^

Rasa

 Bismillah.



Moga-moga pada tiap-tiap aksara rasa yang Tuhan kurnia buat menghuni qalbu-qalbu kita, meskipun terkadang rasa-rasa itu terlalu menghunjam perit menusuk pedih dalam dada, membuahkan hasil pahala dan redha Tuhan buat diri kita. Bersabarlah meski untuk kesekian kalinya kerna tidak akan sedikitpun baikmu Tuhan persia.


Semoga Allah redha ^ ^

24621

 Bismillah..





Apalagi bahagia yang diharap oleh hamba yang benar-benar mendapat anugerah rasa cinta kepada Tuhan nya?
Dikala diuji dia bahagia.
Dikala diberi nikmat juga dia bahagia.
Kerna telah ada rasa cinta. 
Mendorong rasa ingin taat sentiasa. 
Ketaatan terasa seperti makanan yang memberi tenaga.
Kerna dia mengerti. 
Semua ujian jua nikmat ini pemberian Sang Ilahi. 
Dia lah cinta hati.
Kerna..tahukah kamu wahai pembaca?
sang pencinta hanya ingin dilihat dan dicinta oleh yang dicinta. 
Alangkah beruntungnya mendapatkan nikmat cinta ini.

Pabila hati kosong dari cinta kepada Rabb kita.
Bila diuji sesak didada.
Bila dihulur nikmat leka dan alpa.
Ibadah rasa berat dan terpaksa.
Dimanakah mahu didapatkan bahagia?..

...

Kerana itu Irsyad sering bertanya kepada Tuhan nya. Mengapa tidak pernah di dalam hatinya rasa begitu cinta kepada Allah agar dia menjadi hamba yang berbahagia?





Allah itu..
tanpa kita mencintai Dia,
tanpa ibadah dan taat kita kepada Dia,
Dia Allah tetap Yang Maha Sempurna.
Tetap Dia Sang Maha Penguasa segala.Tidak berkurang sedikitpun Kekuasaan Nya.Tidak bertambah jua apa pun pada Nya dengan ketaatan kita.Tidak lah sedikit pun Allah itu memerlukan ibadah , taat dan cinta kita.

Tetapi, kita..

Kitalah sebenarnya yang memerlukan cinta kepada Nya, ketaatan kepada Nya.
Kita lah yang memerlukan cinta dan ibadah itu agar dipandang oleh Sang Maha Sempurna. Agar tidak kita menjadi ibarat layang-layang yang terputus talinya.

...

"Ya Rabb..
Tanpa sedikitpun cinta dariku,
Dikau tetaplah Yang Maha Sempurna,
Maha Segala. 
Akan tetapi,
tanpa cinta mu dalam hati ini,
hambamu dalam hidup ini terasa begitu hampa dan sepi."  

.

Bagaimanapun cinta itu tidak kunjung hadir. Irsyad tidak berputus asa. Selagi jasad berisi nyawa. Harapan itu dipasak di dada. Seiring jatuh bangun usaha. Tidak putus harapnya. Moga-moga, suatu masa nanti, cinta itu sudi berlabuh di dalam hatinya.



Semoga Allah redha ^ ^

130621

Bismillah.




Silam nan kelam menghantui hari.
Hanya pada Allah berserahlah diri.

Amalan baik menghapus dosa.
Harapkan Rahmat Yang Maha Esa.

Andai hatimu gundah gulana.
Perhati zikrullah di hati bagaimana.

Setiap mula dengan bismillah.
Mengharap kurnia Nya husnul khotimah.

Pabila butir zikir diratib.
Hatimu mulai menjadi tertib.

Lazimi lafaz nastaghfirullah.
Kami bertaubat kepada Allah.


Semoga Allah redha ^ ^

Nota

Bismillah.




Semoga dirimu senantiasa tahu,
bahawa aku mencintaimu kerana Tuhan mu. 

Semoga dirimu juga mengerti, 
aku mahu kita bertemu kembali di syurga nanti. 

Semoga tidak kita lupa tujuan hakiki dalam dunia ini.
Menggapai redha Allah dan Nabi.

.

Sehelai nota kemas kulipat. 
Semoga dikau membacanya pada saat yang tepat. 
-Nota 11062021-

ذوالنور

Semoga Allah redha ^ ^

Ingatan

 Bismillah..

Dalam samar-samar cahaya purnama yang masuk melalui ruang tingkap bilik yang sengaja dibiar buka, Irsyad menulis sesuatu di atas sehelai kertas putih empat segi. 

'Sebanyak banyaknya dan sekuat mampu kudratmu,
berbuatlah kebaikan.
Tidak kira dalam bentuk apa pun itu,
lakukanlah kebaikan.
Kerna pabila orang mengingatimu, 
lantas teringat dia akan kebaikanmu, 
lalu berazam dirinya untuk menjadi baik sepertimu setelah lena alpanya yg lalu.
Maka bagimu pahala , 
doa-doa manusia 
serta di hari akhirat sebesar-besar keberuntungan.
Tidakkah itu semua yang kita mahukan?'

------------

"Irsyad. Kau sudah berubah."
Seseorang yang sangat rapat dengan Irsyad meluah rasa.

Pahit untuk ditelan. Namun Irsyad mengakui kebenaran setiap patah kata itu. Pahit. Kelat. Pedih. Bagai ada belati merobek-robek hati.
..

Tanpa siapa tahu. Diam-diam.
Dilubuk hati paling dalam.
Samar-samar perasaan rindu itu masih ada.
Kadang wujud kadang hilang.
Namun ia masih ada.
Dalam hati Irsyad yang paling dalam, dia begitu rindu akan dirinya yang tahu dan sedar dia hamba yang dicinta Allah dan Rasul Nya lantas dia taat.
Namun. Entah bagaimana dia bisa berubah secepat itu. 
Hilang. Terumbang-ambing. Sehingga Irsyad meneruskan hidup dengan dada yang sesak.
Irsyad sudah lupa bagaimana rasanya dicintai dan mencintai Allah, Rasulullah, para nabi dan para solihin serta orang-orang baik.
..

Jasad dan roh Irsyad kian penat.
Badannya bagai sifar tenaga. Rasa mahu saja dia berbaring sepanjang hari di atas katil pembelian ayah. Pejam mata dari realiti dan lesap sahaja dari dunia. Irsyad bagai tidak mahu bangun lagi.
Lelah rasanya bila menyedari dia telah jauh dari jalan lurus namun masih belum bisa memperbetul keadaan diri. Rasa kecewa dengan diri sendiri menyelubungi hatinya kini. Ditambah dengan penat berhadapan persepsi buruk manusia dimana Irsyad sendiri tahu umpatan umpatan manusia itu dek kerana sikapnya sendiri. Hendak menyalahkan orang lain tidak bisa, hanya mampu tuding jari pada diri.
Irsyad benar-benar perlukan rehat. 
Malam itu Irsyad mahu lelap awal. 
Namun matanya tidak bisa pejam kerna ada sesuatu memori mengusik kotak ingatannya.
Fikiran Irsyad melayang-layang pada memori tentang arwah datuknya. Pada waktu-waktu dirinya sesakit ini, perasaan rindu akan arwah datuknya hadir seakan-akan memujuk sedikit sebanyak mainan perasaan Irsyad.
Peribadi datuknya begitu penyabar dan menenangkan. Datuk suka melayan cucu. Datuk selalu bermain teka teki sifir serta ketuk-ketuk lantai kayu dengan Irsyad. Datuk juga orang yang selalu ke masjid dan berkhidmat sebagai 'amil. Selalu orang datang ke rumah datuk untuk membayar zakat. Setiap sepertiga akhir malam datuk akan bangkit dari tidur melakukan solat tahajjud bersama nenek. Datuk juga meskipun sudah tua berusaha menghafaz Al Quran meski tidak sempat semuanya. Setiap kali mahu menunaikan solat meski di rumah sahaja, datuk pasti akan bersiap rapi dengan jubah putih serta berserban dan memakai wangian. Dahulu Irsyad tidak ambil peduli akan pakaian solat datuk namun kini bila sudah dewasa baru Irsyad tahu datuk berpakaian begitu kerana mahu rapi-rapi untuk menghadap Allah Tuhan semesta alam, yang paling istimewa dalam hati datuk.  'Maulana ya Maulana ya sami' du'anaa..seperti lirik lagu opick.. Itu antara zikir yang buat Irsyad ingat dan rindu pada datuknya. Datuk selalu melantunkan zikir itu setelah solat jemaah ketika Irsyad masih kecil. Irsyad suka balik kampung kerana seronok mendengar lantunan suara tua datuk menguntai zikir itu. Zikir itu segar dalam ingatan Irsyad meski kenangan lain bersama datuk telah mulai pudar dan samar. Ah.. sungguh jauh peribadi datuk dengan dirinya. Benarlah iman itu tidak dapat diwarisi dan dijual beli seperti dalam lirik lagu nasyid satu masa dahulu.

Irsyad teringat pula akan cerita nenek. Setelah datuk meninggal, nenek bermimpi arwah datuk berpakaian jubah putih bersama sekumpulan lelaki yang juga berpakaian putih. Wajah datuk kelihatan sangat berseri. Ketika itu suasananya di tanah Makkah. Nenek ingin mengejar datuk tetapi mimpi itu hilang dan nenek terjaga dari tidurnya. Di mimpi lainnya pula, nenek berada di sebuah bilik yang sangat besar. Terdapat banyak katil di dalamnya. Ketika itu nenek melihat datuk berpakaian jubah putih bersama seorang kanak-kanak lelaki. (Nenek Irsyad telah kehilangan seorang anak lelaki ketika anaknya itu kecil). Jiran nenek juga pernah bercerita mimpikan datuk hadir ke rumah berpakaian putih membawa pisang emas. 
Ketika di hospital, hari sebelum datuk koma, ayah bercerita datuk melihat ke luar tingkap dan berkata kepada ayah hendak pergi ke rumah baru. Cantik kata datuk. Ketika itu darah ayah berderau seolah tahu itu tanda tanda datuk mahu pergi meninggalkan ayah di dunia ini.
Bagi Irsyad, itu semua merupakan tanda pengakhiran yang baik buat datuknya. Nenek masih meneruskan tahajjud yang dahulu dilakukan bersama datuk meski kini datuk sudah tiada. Ya..pahala yang berterusan buat datuk atas didikan datuk pada isterinya. Alangkah beruntungnya datuk.

Ingatan Irsyad pada datuknya malam itu seolah memberi tenaga baharu buat Irsyad. Irsyad mahu pengakhiran yang baik seperti arwah datuknya. Dengan lafaz bismillah, mulai hari itu, Irsyad mula mengayuh langkah perlahan-lahan untuk kembali kepada fitrah dirinya. Sang hamba yang patuh dan taat dengan penuh cinta. Meskipun Irsyad tahu perjalanan ini pasti tidak akan mudah, dia pasti akan masih berbuat salah. Pandangan buruk manusia pada dirinya pasti akan masih ada, namun Irsyad hanya akan terus berjalan sahaja dengan harapan akan sampai pada tahap Irsyad redha dan Allah juga redha padanya.

Perjalanan di kehidupan Irsyad masih panjang liku dan  ranjaunya.
Bisa sahaja Irsyad terjatuh lagi hingga dia mahu berputus asa.
Moga2.. bila saat seperti itu tiba.
Ingatan seperti ini akan kembali lagi untuk mengetuk buat kesekian kali kesedarannya.
Sampai Irsyad masuk syurga.
Bertemu sebenar-benar CINTA.







Semoga Allah redha ^ ^