Kekuatannya

Bismillah...



Sayup. Suara azan menggetarkan gegendang telinga. Dia terjaga dari tidur.
Sambil bangun dari pembaringan, spontan dia menggumam nama ALLAH. Ada syahdu menghuni hatinya ketika itu. Kedua tangannya diangkat. Disatukan tangannya, lantas terus berdoa. Nama ALLAH diseru. Dipuji dan puja. Hatinya bergetar. ALLAH masih mengizinkan, sebuah kehidupan lagi untuknya, hari itu. Meski sebelumnya hingga kini, hidupnya hanya berlumur dosa.

Beberapa hari ini, dia sering dikejutkan dari tidurnya dengan gema azan yang datang entah dari mana. Beberapa hari ini juga, hatinya sering dikunjungi sedih tanpa sebab. Beberapa hari ini juga, dia berasa begitu lemah untuk menghadapi kehidupan. Mungkin dosanya sudah terlalu banyak dan ALLAH mahu memberi peluang dan ruang untuk dirinya bertaubat.  Ya, dia perlu menyambut seruan ALLAH ini.

Dia mendongak sedikit. Mencari-cari satu objek. Jam 4 pagi.
Dia segera bangun. Langkahnya diatur, menuju bilik air.
Dengan lafaz bismillah, kepala paip dipegang dan di pusingkan.
Air mengalir laju. Diperlahankan sedikit.

 Tatkala air menyegarkan muka, dia berdoa di dalam hati.  ' Ya ALLAH, cahayakanlah wajah ini dengan cahaya Mu, agar di dunia dan di akhirat, pancaran cahaya dari wajah ini akan menarik perhatian Mu dan Rasul Mu'. Setelah tiga kali basuhan di muka, dia meratakan air pada tangan kanannya hingga ke siku. 'Ya ALLAH, jadikanlah tangan kanan ini tangan yang akan mengambil kitab catatan amalan dari sisi Mu. '  Air matanya berlinang, lantas bersatu dengan air wudhu. Terkenang dia akan dosanya yang begitu banyak. Tatkala membasuh tangan kirinya hingga ke siku, dia berdoa lagi di dalam hati.' Ya ALLAH, hamba berlindung denganmu dari tangan kiri ini yang mengambil kitab catatan amalanku'. Perlahan, dia meyapu sebahagian kepalanya dengan air. 'Allahumma faqqihni fiddeen wa 'allimnitta'wil... Ya ALLAH , ingatkanlah hamba sentiasa kepada Mu dan Rasul Mu'. Dadanya sebak. Akhir sekali, dia membasuh kedua-dua kakinya. Sambil meratakan air di kaki, dia memanjatkan lagi permintaan kepada ALLAH di dalam hati... ' Ya ALLAH, tetapkanlah langkahan kaki ini di jalan lurus Mu untuk bertemu dengan Mu...'

Dia keluar dari bilik air bermula dengan kaki kanan.Tangannya diangkat separas dada. Doa selepas wudhu' dilafazkan. Allahumma, jadikan hamba di kalangan hamba Mu yang diterima taubatnya... Dadanya berombak. Hiba.

Irsyad pernah menerima sentuhan perasaan seperti ini dahulu. Lama dahulu. Dan tatkala perasaan ini hadir , dia telah bertaubat atas segala dosa-dosanya. Dia telah menyesal dan menangis bersungguh-sungguh. Namun entah mengapa, semakin lama menjalani kehidupan, semakin galak pula dia melakukan dosa walau setelah bertaubat. Bukan dia mahu. Tetapi seolah-olah untuk menghindar dia tidak mampu. Telah berkali-kali dia bertaubat , lantas berdosa lagi. Malah dosanya semakin besar pula. Bagaikan si munafiq dan fasiq...

Beberapa hari ini, perasaan yang sama berkunjung kembali. Sebenarnya Irsyad takut untuk menyambut perasaan ini. Bimbang terjatuh lebih teruk lagi. Namun, apakah pula yang akan berlaku pada dirinya jika terus membiar diri tersesat dalam arus dosa tanpa mahu bertaubat kembali.. Pasti lebih teruk ALLAH memurkai dirinya.
Irsyad kini pasrah. Dia yakin ALLAH Maha Memahami. Tatkala sehabis daya dia cuba untuk menghindar perbuatan dosa namun terjatuh juga.
Dia meyakini, selagi mana dia tidak berputus asa bertaubat dan mendekati, ALLAH pasti masih sudi mencintai.

Irsyad pasrahkan jiwa dan raganya untuk dipelihara oleh Sebaik-baik Pemelihara...
dan doa demi doa sebagai kekuatannya... dalam menjalani kehidupan berbaki ini...

اللهم آت نفسي تقوى ها وأنت خير من زكاها وأنت ولي ها ومولى ها

Ya ALLAH, kurniakanlah jiwa ini ketaqwaannya, 
Dan Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya, 
Dan Engkaulah juga Penolong dan Pelindungnya.

Irsyad menangis hiba... Di hadapan Pencipta dirinya.



Semoga Allah redha ^ ^

Hidupku kembali

Bismillah


                                                          
                                                          
                                                          Assalamualaika ya Rasulallah...
                                                          Ku rindu... ku rindu peribadimu...
                                                          Melunakkan kasarnya qalbu.

                                                          Wahai Penciptaku...
                                                           Kerinduanku...
                                                          Cinta Mu merawat sendu.

                                                          Dan kini kutemui semula ,
                                                          sebuah makna , 
                                                          hatiku menyala,
                                                          hanya ku bernyawa,
                                                          pada cinta ALLAH dan Rasul NYA. 

                                                          Hidupku kembali.
                                                          Tiada matinya lagi.
                                                          Namun hanya bila 
                                                          diri mengerti.
                                                                                                                    
                                                          اللهم نور حياتنا بنور حبك
                                                        اللهم نور حياتنا بحب رسول الله    



                                                 

Semoga Allah redha ^ ^