Tanpa Sempurna

 Bismillah..




Setiap sesuatu yang kita peroleh di dunia ini ada maharnya. Di bahagian ini kita peroleh nikmat pada hari ini. Tetapi di bahagian lain pula ada yang mulai hilang dan luput pada hari yang sama. Ada insan yang dikurnia kelebihan di satu sisi. Tanpa kita tahu di sisi lain tersembunyi begitu banyak kurang dan cacat celanya. Mengapa tidak manusia dibiar sempurna? Kerna dengan sempurna tidaklah manusia itu berharap dan merasa perlu kepada Pemilik nya. Dia lah Allah Yang Maha Sempurna. Saat dada terasa sempit.  Seisi alam pula kelihatan mahu mulai memusuhi. Saat itu lah hati benar-benar rasa tertunduk, terduduk pada Pemilik sebenar diri. Tiada tempat bergantung menjadikan hati mahu mencari Yang Maha Agung. Seandainya manusia itu sempurna, tiadalah rasa ingin bertuhan di dalam jiwa. Tidaklah semua ini melainkan bukti Cinta Nya yang ingin Dia beri kepadamu duhai manusia. Syukuri kurnia Nya walau kau lihat sedikit, sabarkan uji Nya walau kau rasa nyeri nya perit.


Semoga Allah redha ^ ^

Permata berharga

 Bismillah



Termangu aku di atas beranda kayu bersama secangkir kopi kegemaran. Bayu angin mengelus pipi. Setia menemani aku yang hanyut dengan lamunan. Otakku ligat bergerak pada setiap inci kisah hidup yang telah ku lalu. Penuh didikan dan kasih sayang Tuhan untuk kuambil pengajaran. Hidup ini adalah pelajaran bagi mereka yang mahu buka hati dan akal fikiran. 

Ternyata, ibu ayah jua yang banyak membantuku dalam melayari kehidupan berbaki ini. Aku yang mulai tumbuh dewasa dan sudah lebih mampu berfikir matang terasa hiba mengenang sikap-sikap ku dahulu kepada dua sosok yang kupanggil ayah mama. Andai sahaja dahulu aku lebih baik kepada mereka. Andai sahaja dahulu aku lebih mencurah tenaga dan cinta kepada mereka. Namun itu semua sudah berlalu. Aku masih direzekikan 'kini'. Tetapi tetap, jasa mereka terasa begitu tidak mampu kubalas walau sekecil cuma. Teringat segala luka yang telah kutinggalkan dalam hati mereka saat aku berdarah muda. Kulebihkan teman-teman mengatasi mereka. Kini teman-temanku punyai jalan dan hidup mereka sendiri. Bukan mereka tidak mahu bersamaku. Tetapi mereka punyai insan-insan yang lebih berhak ke atas masa dan tenaga mereka. Ibu ayahku pula masih siaga dan tetap setia membantu dan menyayangi anak-anak semampu mereka. Aku lah salah satu nya yang memperoleh tulus kasih ayah mama. Saat ini umur mereka terus meningkat dan semakin berusia. Moga-moga dapatku menjadi anak solehah yang berbakti buat keduanya.

Terima kasih buat permata kami paling berharga di dunia. Semoga Allah merahmati kalian semua wahai yang bergelar ibu bapa.

Ngasiman Abd Aziz. Nazullela Ngadi. Rafiee Hashim. Kamaliah Sidek.

Semoga Allah kurnia syurga Firdaus buat mereka ibu dan ayahku yang kukagumi dan kusayangi.



Semoga Allah redha ^ ^

Rasa

 Bismillah.



Moga-moga pada tiap-tiap aksara rasa yang Tuhan kurnia buat menghuni qalbu-qalbu kita, meskipun terkadang rasa-rasa itu terlalu menghunjam perit menusuk pedih dalam dada, membuahkan hasil pahala dan redha Tuhan buat diri kita. Bersabarlah meski untuk kesekian kalinya kerna tidak akan sedikitpun baikmu Tuhan persia.


Semoga Allah redha ^ ^