Orang baik-baik

 Bismillah.

 


Mendengar perkhabaran kembalinya mertua kakakku ke rahmatullah dinihari tadi entah mengapa begitu memberi kesan kepadaku. Suasana hatiku mendung seharian. Air mata sekejap2 bergenang di tubir mata. Mahu sahaja kuhamburkan tangisan ibarat kanak-kanak menangis namun hariku yang menuntutku untuk  berhadapan dengan banyak orang membuatkanku terus menahan perasaan. Wajah almarhumah terbayang-bayang selalu meski amat jarang kami bertemu. Hendak kata akrab juga tidak. Dalam kiraanku, 2 tahun sekali pun belum tentu kami bertentang mata.
Mungkin juga bak peribahasa cubit peha kanan peha kiri terasa, kesedihan di hati kakakku itu terasa hingga ke hatiku. Atau mungkin kerana yang meninggalkan dunia itu adalah orang baik-baik sehingga membuat hatiku terlalu sedih dan rindu untuk bertemu lagi walau sekadar melihat senyum di wajahnya. 



Daku amat jarang bertemu almarhumah. Akan tetapi pabila bertemu  (waktu raya), almarhumah pasti menyambutku ibarat daku ini anaknya. Salam dan memelukku sambil menyebut namaku dengan hangat .Begitu mesra, penuh kelembutan. Terasa kasih sayangnya sampai ke hati meski daku ini bukanlah anaknya mahupun menantunya juga amat jarang menziarahinya. Almarhumah juga senantiasa bertudung labuh membuatkanku senantiasa sejuk memandang wajahnya. Cerita kebaikan-kebaikan almarhumah juga banyak kudengari dari kakakku membuatkanku lebih sedih dengan ketiadaannya juga membuatku berfikir bagaimana pula bila tiba masaku nanti. Apakah diriku juga bakal meninggalkan kesan yang baik untuk yang kutinggalkan ataupun sebaliknya.


Diriku benar-benar berharap menjadi orang baik. Diriku benar-benar berharap Allah memilihku menjadi orang baik-baik. Mohon doakan daku menjadi di kalangan orang-orang yang berbuat baik. Semoga doamu yang baik-baik itu kembali kepadamu sehingga dirimu juga dikurniakan pengakhiran yang baik.




Begitulah..
pabila orang baik-baik meninggalkan kita. Kematiannya menjadikan hidupnya hati kita. Alangkah beruntungnya.

اللهم اغفر لها وارحمها وعافها واعف عنها

اللهم اختم لنا بحسن الخاتمة ولا تختم علينا يا الله بسوء الخاتمة





Semoga Allah redha ^ ^

No comments:

Post a Comment