Menembus masa hadapan.

Bismillah.


Segala puji untuk Allah dan selawat dan salam untuk Rasulullah, keluarga serta sahabat baginda~ Cinta yang mengalir setenang sungai Nil buat semua muslimin dan muslimat yang masih Allah izinkan bertebaran di muka bumi yang sudah terlalu tua. yang bakal musnah.
Atas takdir Allah, saya disempatkan untuk berbual bersama seorang ibu yang saya gelarkan sebagai mak cik x. Ya. Entri ini tentang perbualan kami~
Dengan pandangan matanya yang redup, mak cik itu membelai hati saya dengan nasihatnya. Bayu bertiup. Tenang. Seolah-olah bayu itu turut mendengarkan bicara saya dan mak cik. Saya, bahagia.

Antara pesan mak cik pada ku.
Anakku, apabila kau sudah dewasa, sudah bersuami, sudah punya anak, bimbingilah anakmu itu sebaiknya. Anak itu, aset ke syurga. 

Nanti, pesan pada suami mu, lazimkan solat jemaah dan tazkirah selepas solat. Kerana itu, kekuatan jiwa.

Nanti, bila kamu sudah dikurniakan zuriat, didiklah dia dengan penuh kelembutan dan kasih sayang. Jangan dimarahi. Seandainya dia berbuat silap, tegur dia dengan menerangkan asbab mengapa dia tidak boleh berperilaku sedemikian. Dengan senyuman. Atas nama sayang. Baru nanti teguran itu akan sampai ke hati, bersama getaran cinta.

Nanti bila kamu sudah ada cahaya mata, dari kecilnya mereka, kisahkanlah pada mereka tentang perjuangan para sahabat, peribadi Rasulullah dan tentang luasnya kasih Allah. Biar nanti, dalam hati mereka, akan wujud cinta pada perjuangan dan ilmu. Dan paling penting, supaya mereka mengasihi Allah dan Rasul Nya, melebihi segalanya~

Baca Al Quran bersama suami dan anak. 

Anakku, nanti bila sudah berumahtangga, jangan malu untuk selalu menungkapkan kalimah cinta buat suami dan zuriat~ Mak cik selalu pesan pada putera makcik, bila sudah nikah, pujilah dan hargailah isteri. Kerana dengan itu, seolah-olah ada kuasa sakti yang memangkin isteri untuk menjadi lebih baik dan solehah.

Makcik itu juga ada beri satu formula. Macam ni, Suruh anakmu amalkan, setiap kali sebelum tidur, katakan dalam hati 3 perkara ini.
1- Allah bersamaku    2- Allah menyaksikanku  3- Allah memerhatikanku.
Biar nanti, anak2 kita akan merasai kehadiran Allah dalam setiap detik hidupnya.

Saya tertawa kecil. Geli hati. Dan seolah-olah makcik itu tahu apa yang bermain dalam hati saya, mak cik itu juga tertawa sambil berkata. Mak cik tak main-main nak, makcik tahu kamu masih setahun jagung di alam remaja, belum mula fikir soal rumahtangga. Cuma , ingat pesan makcik. Mulalah berdoa untuk kebaikan dan keelokan akhlak dan iman suami dan anakmu mulai sekarang. Kerana itu terlalu penting. 
Proses tarbiah dan didikan keluargamu bermula dari sekarang. Dari zaman remajamu. Perelokkanlah akhlakmu sebagaimana kamu mahu anak kamu berakhlak. Dan pernikahan itu, bukanlah soal yang mudah. Di dalamnya penuh tanggungjawab. Tanggungjawab yang membawa keluarga itu ke syurga. Rumahtangga untuk Allah. 
Jadikan keluargamu, keluarga yang bermanfaat untuk islam serta dunia dan seisinya. Keluarga yang sangat mencintai Allah dan Rasul Nya. Oleh itu, kamu harus didik diri, suami serta zuriat dari sekarang. Kamu harus belajar dari sekarang~ Dan ingat, segalanya demi Allah.  Mak cik itu tersenyum simpul. 

Eh. Ayah saya sudah sampai. Maka, perbualan hangat itu perlu berakhir. Saya menyalami mak cik itu dengan ucapan terima kasih dan pulang ke rumah dengan senyuman yang tidak mahu berhenti. Saya cuba berhenti tapi senyum itu makin melebar pula. Eh. Tak lebar sangat pun sebenarnya~ 

Dan saya menaip entri ini agar tidak lupa dan untuk berkongsi bersama kamu. Tidak salah kan sekali sekala kita menembus ke masa hadapan~  Cehhh :')

Semoga bermanfaat untuk iman kita. Assalamualaikum.








Semoga Allah redha ^ ^

No comments:

Post a Comment